salam pagi blog,
mengorek ngorek utusan online, terjumpa satu pandangan dari pembaca di ruangan forum. antara petikan permulaan,
" KISAH A. Samad Said yang tidak ingin lagi digelar Sasterawan Negara sangat mengejutkan saya dan menyebabkan saya ingin meluahkan perasaan kecewa dan sedih di atas kehilangan gelaran yang jelas mencerminkan diri beliau itu.
Alasan yang diberikan oleh A. Samad Said agar gelaran itu digugurkan adalah berkaitan dengan karya-karya cadangan sebagai teks baru Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu (Komsas) 2010.
Kementerian Pelajaran mungkin perlu melihat semula keputusan penukaran teks sastera sekolah dengan novel-novel remaja popular yang ringan dan tidak berisi dengan kualiti sastera."
adakah samad said merajuk? barangkali ya barangkali tidak. nampaknya, makin pincang duduk berdiri pentadbiran itu. aku tidak pernah memandang rendah terhadap kesusateraan melayu. satu masa dahulu, prosa klasik adalah pilihan pembacaan. arenawati antara penulis pilihan aku. penceritaannya sekitar tahun penjajahan jepun dan tahun tahun seterusnya. memang pembacaan aku agak perlahan dan pemahaman juga agak kurang. kadang2 tak faham pun makna yang tersirat. semasa di sekolah dulu, internet belum lagi ada di malaysia. hanya ada cakap cakap dan ramai pula yang menentang. kata mereka internet adalah agenda yahudi untuk menghancurkan keimanan orang islam. kata mereka. datang masuk internet, aku fikir orang orang ini begitu gigih bersorak berkokok mencari pengisian "zahir dan batin"!!
kemudahan yang ada sekarang ini sepatutnya di gunakan oleh pentadbiran itu untu membantu pelajar pelajar dalam memahami isi teks sastera tersebut bukan dengan menukar koleksi teks untuk digunapakai dalam sukatan pelajaran. pemikiran pentadbiran itu agak cetek, penghujahan justifikasi yang diberi memang terlalu dangkal. alasan, tidak mahu pelajar pelajar ini tertekan dan bosan, maka pentadbir itu memudahkan urusan pembacaan kepada remaja sekolah ini.
bukankah sepatutnya sekolah itu pengisiannya susah? kalau senang maka ramailah yang akan mendapat deretan A yang entah apa-apa kualiti nya. aku terasa ingin mencadangkan sesuatu kepada pentadbir dan pentadbiran itu. sepatutnya tidak perlu ada penilaian, UPSR, PMR mahupun SPM/STPM. ini adalah membosankan dan menekan para pelajar. sekiranya tidak ada penilaian ini, maka kehadiran ke sekolah adalah hanya lebih kepada keperluan bukan kemestian dan kewajiban. atau lebih bagus, jika terpaksa juga memberi penilaian kepada pelajar pelajar ini, kita perlu merombak sistem soalan peperiksaan. berikan saja MCQ, iaitu soalan pelabgai pilihan. makna kasarnya soalan objektif. yang boleh ditenyeh oleh pelajar ini tanpa perlu banyak berfikir. jawapan sudah disediakan cuma pilih sahaja! aku boelh simpulkan, taraf pendidikan negara kita sudah mencapai tahap mengarut dengan lambakan pelajar yang berderet koleksi A yang entah mana nilai kualitinya. pentadbirnya pulaj sudah mencapai kematangan merapik dan merapu dalam membuat keputusan.
pentadbir itu harus sedar, impak dari perbuatan ini, tidak akan ramai dari pelajar dari aliran sastera yang akan menjadi pemikir kritis. tidak pulak ramai yang mampu untuk menjadi penulis sebaik samad said sendiri. tidak ramai nanti yang mampu membaca antara garisan dan di akhir garisan. tidak ramai nanti yang bisa berbicara secara sinikal tetapi tidak memaksudkan secara zahir. aku sendiri, amat kagum dengan beberapa orang pelajar aku yang mampu berbicara dengan baik. marah mereka tidak langsung nampak, tetapi ayat yang diujar, terkesan dalam otak yang paling dalam.
beberapa minggu sebelum CNY, aku dijemput (sebenarnya lebih kepada DIARAHKAN) menjadi hakim kepada siri saringan pertandingan debat kemerdekaan yang sepatutnya berlangsung tahun lepas, tetapi tertunda ke tahun ini. sekiranya, aku ini bukan pendukung kepada kemuliaan pendidikan, aku akan bergolek golek di atas lantai mentertawakan mereka mereka ini. ada yang bagus, aku tidak nafikan dan kami barisan hakim dan juri memberi kredit dan merit kepada mereka ini, tetapi peratusannya terlalu kecil. adakalanya aku hanya terpaksa memilih pendebat terbaik. memilih yang terbaik dalam golongan yang terlalu jauh dari kesederhanaan.mungkin ini agak melampau, tetapi, itu hakikat yang aku kadang2 mengutuki diri kerana seolah olah gagal menerapkan kepentingan untuk berfikir secara kritis dan keupayaan untuk berhujah. aku tidak pandai berhujah, tapi aku tidak akan bercakap tanpa ada bukti dan sokongan fakta. dan aku tidak akan berbicara sesuatu yang luar dari pengetahuan aku! menerbitkan soalan yang berbentuk provokatif mungkin boleh tetapi tidak akan lebih dari itu. sudah belajar dari kesilapan yang lalu, aku bukan "superman" untuk menjadi jaguh di setiap medan.
dalam soal debat, mesti ada titik pertembungan perbahasan yang menolak gagasan yang diusulkan. menjadi tanggungjawab pengusul memberi gagasan yang boleh dibahaskan. pendifinisian yang sempurna dari sudut konteks dan dari sudut perbahasan. penerimaan dan penolakan mesti jelas samada secara bulat atau pun secara kiasan. namun mesti jelas kepada sidang dewan. pengucapan mesti lah lancar. tidak boleh ada "ah" "uh" dan "eh". perlu pandai mencuri masa sekiranya berhadapan dengan kegugupan mencari idea. itu memerlukan pemikiran yang kritikal dan kritis. oh, apa itu pemikiran kritikal atau kritis (mana yang betul aku pun kurang pasti). itu adalah pemikiran yang mengambil kira aspek analisa keseluruhan permasaalahan, penilaian terhadap masalah dan pembinaan pemikiran yang menjurus kepada unjuran penyelesaian masalah atau perkara pokok. ini tidak akan hadir dengan sendiri, walaupun aku pecaya ada di antara kita dilahirkan dengan keupayaan untuk berfikir dari luar kotak kebiasaan.
karya kesusateraan terpilih, mampu membentuk pemikiran begini. penulis hebat, banyak pengalaman dan itu ditulis, diolah serta disampaikan dalam kepelbagaian laras bahasa. pengalaman mereka bukan "perjalanan yang dibayar", duduk terperuk di ceruk bilik dan berkokok lah ayam jantan di dalam kain mengatakan, mereka punyai banyak pengalaman di negara orang.orang seperti ini tidak pun mampu untuk berfikir dengan waras, malah percakapan mereka terlalu banyak kontradiksi. lain halnya dengan penulis karya kesusasteraan. mereka duduk mendiami suatu tempat, mengambil masa untuk berasimilasi dengan sekitaran dan menzahirkannya dalam betuk penulisan.
ucapan dikhalayak ramai juga kadang2 menjadi kayu ukur kepada kredibility seseorang pemimpin. antara yang MEMBACA teks dan yang mengucapkan apa yang ada di dalam otaknya, yang terkemudian itu lebih faham tentang apa yang dicakapkan. datang dari pemikirannya bukan dari orang yang menyediakan teks atau teks yang ditulis sendiri beberapa hari sebelum berlangsung pengucapan itu. pengucap yang mampu menarik perhatian dengan unsur retorik yang tidak terlampau, merupakan pengucap yang hebat. tetapi pengucap itu tidak lah sehebat mana sekiranya dia gagal mengotakan apa yang telah diucapkan!
memberi laluan yang mudah dalam aliran pendidikan dengan berkompromi, sebenarnya membenarkan tolak ansur kepada kebodohan dan pemikiran yang statik! sedikit bulan nanti, kita akan dihujani dengan berita limpahan A yang diperolehi oleh para pelajar yang menduduki peperiksaan tahun lalu. sekali lagi, berkokok lah ayam di dalam kain, bersorak lah pak kaduk pak kaduk yang ayamnya terlepas kampungnya tergadai, melompatlah pak pandir pak pandir ke dalam air bersama labu labunya. aku?? hanya mampu melihat dan tersenyum. tidak ada apa yang mampu aku lakukan sekiranya yang "pandai bercakap" sememangnya hanya pandai bercakap~
-cheAYIEgu-
No comments:
Post a Comment